Saturday, August 1, 2009

Keunikan Orang Asli memikat burung di Rompin




RAMAI pengunjung berminat meredah hutan di Rompin, Pahang untuk melihat kehidupan Orang Asli selain mempelajari cara mereka memikat burung. Di kawasan itu juga banyak burung yang ada nilai komersil seperti tiong emas, merbok, bayan, puling dan serindit.Ada juga yang datang ke kawasan penempatan Orang Asli untuk membeli burung dan hasil kraftangan penduduk tempatan.Selain itu, ada juga Orang Asli menjual kijang, pelanduk, anak beruk kepada pengunjung untuk dijadikan binatang peliharaan serta mendapatkan wang bagi menampung kehidupan harian mereka.Apa pun, tidak semua orang mahir menangkap burung, apa lagi spesies yang ada harga seperti tiong emas kerana burung hidupan bak jinak-jinak merpati.





Namun, masyarakat Orang Asli ada kemahiran tersendiri untuk mengepung dan menangkap burung tanpa perlu mencederakan haiwan itu. Ada juga pengunjung yang berminat memerhatikan mereka menangkap.Bagi sekumpulan penduduk Orang Asli di Kampung Simpai, Rompin, Pahang kehidupan di hutan memberikan pengalaman yang menyeronokkan di samping mengharapkan hutan sebagai sumber mendapatkan wang tambahan.Pekerjaan mengesan dan mencari burung di hutan, lazimnya bermula pada awal pagi ketika burung sedang rancak mencari makanan. Kumpulan pemuda termasuk kanak-kanak dari perkampungan itu terpaksa meredah hutan yang di sekeliling perkampungan mereka.Seorang daripada mereka, Mat Tin, 21, berkata ada sekurang-kurang empat hingga lapan pemuda dari kampung itu menumpukan pekerjaan mereka ke hutan bagi mendapatkan burung sebagai mata pencarian.Hasil pencarian itu mendatangkan pendapatan sampingan di antara RM20 dan RM100 sehari yang dijual tidak jauh dari lebuh raya Kuantan-Segamat. Kebanyakan pembeli dari Pahang, Johor dan Singapura.“Burung yang ditangkap akan dijual dengan harga RM5 hingga RM150 seekor, tetapi harga itu mengikut jenis burung yang ditangkap” kata Mat.Katanya, harga burung Tiong Emas juga berbeza-beza bergantung kepada saiz dan kecantikan badan termasuk warna burung itu. Harga bagi burung tiong emas boleh mencapai sehingga RM150 seekor kerana kesukaran menangkapnya malah burung jenis ini tidak akan diturunkan harga kerana tawaran harganya yang agak tinggi dan ramai pembelinya.Setiap Orang Asli termasuklah wanita, mempunyai kemahiran dan kepakaran tersendiri untuk memerangkap serta menangkap burung. Kaedah menangkap burung tidak akan mencederakan apa lagi membunuh haiwan itu.“Kecacatan yang dialami oleh burung mengakibatkan harganya rendah atau ditolak oleh pembeli burung” katanya. Justeru, mereka sentiasa berhati-hati ketika menangkapnya.Kebanyakan Orang Asli menggunakan kaedah yang lebih moden bagi memerangkap burung iaitu menggunakan getah yang diletakkan pada perangkap yang diletakkan di atas pokok atau pokok kelapa sawit yang menjadi tumpuan utama burung itu.Permintaan terhadap burung dalam bilangan yang banyak datangnya daripada penjual burung. Mereka datang dua atau tiga bulan sekali bagi mendapatkan pelbagai jenis burung yang ditempah untuk dicarikan burung itu, katanya.