Tuesday, April 20, 2010


Seni ramalan kuno India

Oleh JAGATHESWARY NARAYANAN
n.jagatheswary@kosmo.com.my



--------------------------------------------------------------------------------


RUMAH usang milik peniaga cettiar atau sering disebut ceti dalam bahasa Melayu itu mungkin jauh dari pandangan ramai kerana terletak di hujung deretan kedai di Jalan Lebuh Ampang, Kuala Lumpur. Bagaimanapun, pintu masuk rumah itu sering sibuk dengan kelibat warga kota yang lalu lalang. Sebabnya, mereka datang bukanlah untuk meminjam wang daripada ceti itu yang lazimnya diketahui sebagai peminjam wang.

Ironinya, kunjungan bersifat peribadi itu adalah untuk berjumpa dengan Manivanan Thuraisamy yang kebetulan menyewa sebuah bilik di rumah lama tersebut. Ada yang menunggu berjam-jam lamanya untuk bertemu dengan lelaki berusia 46 tahun itu. Apakah istimewa Manivanan?

Sebenarnya, Manivanan yang berasal dari wilayah Erode, Tamil Nadu, India itu merupakan seorang tukang tilik nasib. Dia berhijrah ke jalan yang sudah menjadi tumpuan kebanyakan peniaga India itu kira-kira 12 tahun lalu untuk menambah punca pendapatan melalui tilikan nasibnya.

Berbeza daripada tukang tilik sedia ada, cara menilik nasib Manivanan memang aneh dan unik. Ini kerana, seekor burung serindit digunakan sebagai alat untuk menilik nasib para pelanggannya. Sungguhpun ia mungkin sukar dipercayai ramai pada zaman serba canggih dan moden ini, namun realiti membuktikan bahawa kepercayaan seperti itu masih kekal diamalkan terutama dalam budaya masyarakat India sehingga hari ini.

Saban hari seawal pukul 10 pagi, lelaki yang lebih manis dengan panggilan Mani itu, sudah pun membuka medan menilik nasib para pelanggannya di kaki lima rumah ceti itu. Lantai dipasang mozek bercorak flora dialas dengan suratkhabar lama sebelum disusun dengan peralatan tilik nasib. Antaranya, peti sangkar kayu, susunan kad-kad tilik nasib, beberapa buah buku tilik nasib dan bijian mutiara.

Kemudian, para pelanggan yang menunggu lama itu, menyusur duduk seorang demi seorang untuk melihat dan mendengar sendiri tilikan nasib mereka daripada Mani. Sebelum itu, Mani juga melakukan upacara ritual yang ringkas seperti membakar colok dan memuja gambar dewa-dewi yang ditampal pada permukaan atas sangkar kayu itu. Ia kepercayaan untuk melancarkan perniagaannya pada pagi itu.

"Padaiyappah, sila ambil satu kad yang bagus kepada nama Sugumaran yang berumur 46 tahun ini," demikian arahan lembut Mani dalam bahasa Tamil kepada burung serindit yang berada dalam sangkar itu. Sugumaran Shanmugam, 46, adalah pelanggan pertama Mani pagi itu yang sanggup datang dari Damansara, Selangor untuk berjumpa tukang tilik tersebut.


SEJUMLAH 29 keping kad digunakan dalam amalan tilikan nasib burung serindit.

--------------------------------------------------------------------------------


Sejurus terdengar panggilan tuannya, burung rona hijau muda yang mendapat nama manja sempena sebuah filem Tamil yang popular, lalu keluar untuk memilih kad-kad disusun rapi di hadapan sangkar tersebut.

Burung kecil dengan panjang hanya mencapai 12 sentimeter itu bijak menuruti kata-kata Mani dan mencapai sekeping kad secara rawak lalu memberi kepada tuannya. Seterusnya, Mani turut bertanya dalam bahasa Tamil, "Kad ini untuk Sugumaran, adakah ia membawa tuah kepadanya?"

Sebagai tanda bersetuju, Padaiyappah mengeluarkan bunyi sebanyak tiga kali secara spontan.

Mewarisi kerjaya keluarga

Kata Mani, Padaiyappah tidak akan mengeluarkan bunyi jikalau kad tersebut tidak sesuai untuk orang itu. Maka ia akan membuat pemilihan sekali lagi. Kad berwarna hijau dilipat tiga itu kemudian dibuka dan ditunjukkan kepada Sugumaran yang sebenarnya tidak sabar untuk melihatnya. Pada hari itu, kad hijau yang dicetak gambar Dewi Lakshmi terpilih untuk menentukan nasibnya.

Berpandukan nombor yang tercatat di atas permukaan kad tersebut iaitu 25, Mani mula membaca nasib pelanggannya mengikut sebuah buku khas yang disimpan di tepi sangkar burung itu. Buku khas tersebut sebenarnya mengandungi penerangan tentang nombor 25 tetapi dalam bentuk lagu-lagu berunsur mantera.

Menurut Mani, sejumlah 28 keping kad selalunya digunakan dalam amalan tilikan nasib burung serindit. Kesemua kad berkenaan dicetak dengan gambar-gambar dewa-dewi antaranya Ganesha, Muruga, Vishnu, Siva, Lakshmi dan Saraswathy. Walau bagaimanapun, bukan gambar-gambar tersebut akan menentukan nasib seseorang, sebaliknya urutan nombor daripada satu hingga 28 yang tertera pada permukaan kad itu.

"Sememangnya, budaya masyarakat India sejak dahulu lagi amat mempercayai unsur nombor dalam kehidupan mereka. Segala perkara, sama ada upacara ritual ataupun adat semuanya diadakan mengikut masa, tarikh dan bintang yang sesuai untuk seseorang, supaya apa yang dilakukan membawa tuah kepadanya.



SELAIN tilikan nasib serindit Mani turut menjalankan tilikan nasib tapak tangan dan menggunakan bijian mutiara.

--------------------------------------------------------------------------------



"Dalam bidang tilikan nasib keseluruhan proses itu melibatkan nombor genap ataupun ganjil. Misalnya, dalam kad-kad ini juga ia bermula dengan nombor satu dan berakhir dalam angka ganjil," ujar lelaki yang mempelajari ilmu tilikan nasib itu daripada bapa dan datuknya di India yang melakukan kerjaya tersebut sejak turun-temurun lagi.

Ujar bapa kepada dua anak itu, lagu-lagu yang tertulis dalam bahasa Tamil klasik dalam buku itu selain menerang nasib baik dan buruk seseorang, ia juga pada masa yang sama menyenaraikan sifat orang yang ditilik tersebut. Pada pagi itu, mengikut penerangan buku itu, nasib Sugumaran boleh dianggap sarat dengan pahit dan manis.

Dia juga diminta supaya berwaspada dalam setiap langkah yang dibuat manakala dari segi kewangan dan peluang baru memang cerah.

Sementara itu, Sugumaran yang merupakan antara pelanggan tetap tukang tilik berkenaan berkunjung ke rumah itu kira-kira 15 kali dalam sebulan. Baginya tilikan nasib Mani memang benar dan 80 peratus boleh dipercayai. Jikalau dia ingin melakukan apa-apa perkara penting untuk keluarga dan kerjaya selalunya dia menilik nasib terlebih dahulu supaya segalanya terlaksana dengan sempurna.

Lima tahun yang lalu, dia yang bekerja sebagai pekerja kontraktor secara kebetulan menilik nasib dengan Mani apabila berkunjung ke Jalan Lebuh Ampang untuk urusan membeli-belah. Sejak itu, dia semakin terpengaruh dengan amalan tilikan nasib kerana ia memberi kepuasan kepada dirinya dan memberi amaran sihat secara tidak langsung.

"Saya juga rasa lega dan tenang apabila meluahkan perasaan serta masalah yang terpendam dalam jiwa kepada Mani. Dia juga turut memberi nasihat dan penyelesaian untuk masalah itu," tambahnya bahawa harga yang dikenakan untuk menilik nasib itu murah dan boleh dipercayai.

Dalam pada itu, Mani pula memberitahu sungguh pun ramai yang curiga dan kurang yakin dengan tilikan nasib burung serindit, namun apabila seseorang mempercayainya secara ikhlas memang ia membantu meningkatkan taraf kehidupan, kewangan serta kesihatan.

Keistimewaan serindit

Bercerita mengenai burung serindit yang comel itu, ujar Mani burung berkenaan dibelinya daripada seorang kawan di India yang menjalankan perniagaan melatih burung serindit untuk tujuan tilikan nasib.


PADAIYAPPAH mengeluarkan bunyi sebanyak tiga kali secara spontan apabila kad tersebut sesuai untuk seseorang.

--------------------------------------------------------------------------------


Mengapa burung serindit? Jawabnya, burung itu adalah salah satu unsur keagamaan yang berada bersama Dewi Meenakshi di Kuil Meenakshi, Madurai, India yang dianggap istimewa kepada seluruh penganut agama Hindu. Proses penjagaan burung itu juga mudah dan selalunya burung jantan digunakan untuk tujuan tilikan nasib. Dari segi makanan, Padaiyappah diberi santapan padi dan cili.

Sungguh pun, jumlah tukang tilik nasib burung serindit di negara ini amat kecil dan boleh dikatakan didominasi sepenuhnya oleh warga India, namun Mani mengakui oleh kerana masih ada orang tempatan mempercayai tilikan kuno itu, maka dia mampu menjana pendapatan mencecah RM1,000 setiap bulan.

Selain tilikan nasib burung serindit, Mani turut menjalankan tilikan nasib tapak tangan dan menggunakan bijian mutiara. Harga semua perkhidmatannya pula, bermula dari RM3 sehingga RM8 sahaja.

Pada pertemuan Kosmo! bersama Mani, penulis dan jurugambar tidak ketinggalan juga menilik nasib masing-masing yang dikatakan baik dari segi kewangan serta kerjaya.


----------------------------------------

Pautan Lain: Utusan Online | Mangga Online | Saji Online | ezTrade Beta | Kareer | Tutor | Mangga TV | MyBooks | Kumpulan Utusan |

Copyright © 2008. KOSMO! Online.
Process time in ms: 63

No comments:

Post a Comment